Thursday, October 19, 2006

 

Selamat Menyambut Syawal

Alhamdulillah, nampaknya kita telah berada di 10 hari yang terakhir di bulan Ramadhan. Moga-moga keimanan kita semua telah bertambah berbanding setahun yang lalu. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga muslim. Yang akan pulang ke kampung nanti, pandu dengan berhati-hati. Sehingga berjumpa lagi. Nantikan tips-tips bisnes selepas ini.

Wassalam.

Sunday, October 08, 2006

 

Perangkap keusahawanan

Salam,

Salah satu kesilapan yang paling banyak dilakukan oleh mereka yang telah memasuki bidang bisnes ialah menyangka bahawa jika mereka tahu suatu kemahiran teknikal, mereka juga tahu menjalankan bisnes yang berkaitan kerja teknikal tersebut. Contohnya, seorang mekanik akan berjaya jika membuka sebuah bengkel membaiki kereta atau seorang peguam boleh berjaya apabila membuka firma guamannya sendiri. Hakikatnya ramai yang kebingungan setelah bisnes yang diharap-harapkan menjana pendapatan lumayan akhirnya 'karam' bersama impian mereka.

Mengapa hal ini terjadi? Anda perlu ingat bahawa menjadi seorang juru teknik tidak sama dengan menjadi ahli perniagaan. Perwatakan seorang usahawan berbeza sama sekali dengan perwatakan seorang juru teknik. Seorang usahawan biasanya berpandangan jauh, bijak mencipta dan mengambil peluang serta seorang yang berfikiran kreatif. Manakala seorang juru teknik adalah seorang yang berfikiran logik dan memberi fokus kepada apa yang ada di depan mata. Seorang juru teknik yang baik tidak cukup untuk membina sebuah bisnes yang berjaya.

Maka, bagaimana seorang juru teknik hendak menjadi seorang usahawan? Secara ringkas, saya dapat menyimpulkan bahawa untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kuncinya adalah ilmu berniaga. Anda perlu mempelajari konsep bisnes, strategi pemasaran dan banyak lagi hal-ehwal berkaitan bisnes. Saya akan huraikan secara terperinci pada topik akan datang... Jangan ketinggalan!

This page is powered by Blogger. Isn't yours?