Thursday, September 14, 2006

 

Adab usahawan Muslim

Salam,

Sebagai usahawan Muslim , anda perlu mempunyai identiti diri yang dapat membezakan anda daripada para kapitalis yang hanya mementingkan diri sendiri. Dalam setiap gerak kerja dan aktiviti muamalat, serlahkan ketinggian akhlak dan kematangan dalam berniaga.

Dalam bisnes, kita tidak dapat lari dari berurusan dengan pelanggan atau peniaga lain yang terdiri dari pelabagai latar belakang dan gaya hidup. Kepelbagaian inilah yang akan menguji anda, sebagai seorang usahawan Muslim, melalui cara anda menyelesaikan konflik.

Saya mahu berkongsi pengalaman saya berhadapan dengan kerenah peniaga lain. Saya pernah membuka gerai di sebuah pasaraya sekitar Shah Alam. Saya telah membayar sejumlah wang untuk menyewa ruang gerai yang kosong bagi tempoh sebulan. Sehinggalah pertengahan bulan, saya diminta bertukar ke sebuah gerai lain yang berhampiran dengan alasan ada seorang peniaga lain mahu berniaga di tapak gerai yang saya duduki.

Permasalahan timbul apabila tapak gerai baru yang sepatutnya saya masuki telah dipenuhi dengan barangan pegerai lain. Maka saya hanya ada separuh sahaja ruang untuk memuatkan produk saya. Dari satu sudut, saya telah diberi layanan kelas kedua, malah adalah hak saya untuk menduduki sebuah tapak, bukan separuh tapak. Usaha untuk menyelesaikannya juga tidak menampakkan perkembangan positif.

Dalam hal ini, saya boleh berdengki, berkeras menuntut hak saya atau menimbulkan ketegangan dengan pemilik tapak dan penggerai baru. Tetapi saya memilih untuk memberi ruang, walaupun saya mengalami sedikit kerugian. Rasionalnya, memelihara kesatuan dan keharmonian di antara peniaga-peniaga di situ adalah lebih utama. Seorang perlu beralah dan bertolak ansur.

Dalam membuat pertimbangan, cuba untuk melihat gambaran yang lebih besar. Jangan terlalu emosional dan mementingkan diri. Allah kan Maha Adil? Jika saya tidak beroleh keuntungan di dunia, insya Allah, di akhirat saya tetap mendapat 'bahagian' saya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?